Saya akan cuba menulis sebaik mungkin menggunakan bahasa melayu. Sebelum ini blog saya ini banyak berkisar tentang hobi saya iaitu membuat 'digital skrap' tetapi sekarang mungkin blog ini akan menjadi lebih terbuka dan mengandungi perlbagai isu berkaitan diri ini.
Semenjak dari dahulu saya memang kagum dengan penulis blog yang menggunakan akal serta kebolehan mencurahkan idea di dalam blog. Blog saya adalah sangat ringkas. Lebih kepada foto blog. Saya bukanlah tiada masa untuk berblog, memang ada masa yang lapang. Masa lapang ketika waktu rehat tengahari di pejabat antara 1.00 tengahari ke pukul 2.00, waktu selepas balik dari kerja dan waktu yang paling saya suka. Malam.
Sebenarnya malam ini saya berikrar untuk hanya menggunakan internet selepas anak-anak tidur. Tetapi malam ini saya hampir tidak berjaya. Kali pertama anak saya Damia keluar dari bilik selepas dipujuk tidur - 'nak susu, mama'. Kali kedua - 'kakak nak mama'. Kali ketiga - 'kakak nak buang air besar'. Kemudian anak saya Adam,pun keluar dari bilik dengan alasan 'Along nak tunggu adik'.
Kenapa saya berikrar begitu, kerana saya ini ketagihan melayari internet. Sepanjang masa. Setiap masa terluang. Saya rasa seronok apabila membuat tugasan 'digital skrap' , berblog, ke galeri skrap, memuatnaik gambar dan bersosial di laman Facebook, Twitter, Tumblr, Pinterest dan sebagainya.
Ini menyebabkan saya jadi 'keterlaluan' dan 'kepenatan' hanya kerana tuntutan melayari internet. Saya jadi terlalu gembira, terlalu bosan, terlalu penat dan hangat-hangat tahi ayam. Kalau dahulu saya boleh ambil hobi berinternet sebagai sesuatu yang positif, tetapi sekarang saya rasa hobi saya ini memakan diri.
Saya kemudian sedar, ada tuntutan yang perlu saya penuhi. Saya ingin menghabiskan seharian saya dengan berkualiti. Berkualiti dalam erti kata saya bergembira. Secara berterusan dan boleh dirasai di dalam hati saya. Saya sedar saya ada suami dan anak-anak. Saya ada mata dan hati mereka untuk dipenuhi dengan peranan saya sebagai isteri dan ibu. Saya ini renung ke dalam mata mereka seperti saya tidak akan berjumpa mereka lagi. Supaya, setiap hari saya akan lebih memberi makna. Kerana suami dan anak-anak itu adalah pinjaman Allah yang sementara.
Oleh itu pendekatan secara perlahan yang saya ingin lakukan sebagai isteri dan ibu di zaman serba moden ini :
1. Mencari artikel dan blog bermotivasi dan mengandungi unsur tazkirah
2. Memajukan diri dalam masakan dengan mempelajari pelbagai masakan melalui blog masakan
3. Mengambil peranan sebagai pensyarah dengan melengkapkan maklumat berkaitan pengajaran dan pembelajaran di atas talian seperti menggunakan e-learning
4. Menggunakan laman-laman sosial dengan bijak seperti untuk menjalinkan silaturahim sesama keluarga, rakan dan pelajar.
5. Menghadkan masa menggunakan internet di rumah dan melebihkan masa bersama keluarga seperti melakukan aktiviti - aktiviti yang menggembirakan suami serta anak-anak.
6. Belajar untuk memahami diri sendiri, memperbaiki kelemahan diri dan membantu diri sendiri untuk tidak selalu berasa sedih ketika ditimpa ujian dari Allah.
7. Berkongsi tutorial berkaitan pengalaman menggunakan internet agar dapat membantu yang kurang mengetahui.
8. Belajar untuk berhargai orang lain dalam segala macam hal.
Saya jenis orang yang selalu mereflek ke dalam diri sendiri. Saya memang sentiasa berfikir. Mengapakah sesuatu perkara itu terjadi kepada saya. Sebagai contoh apabila berkawan :
si A ini selalu bermasalah di tempat kerja, lewat dan tidak komited. Apabila saya mendalaminya rupanya beliau seorang yang amat mengutamakan suaminya.
si B ini selalu dikaitkan dengan masalah personal tetapi rupanya dia seorang yang baik hati selalu menolong rakan di dalam kesusahan
si C ini seorang yang amat cerewet dan sentiasa tidak puas hati terhadap apa yang dimilikinya tetapi dia rupanya seorang yang sangat teliti dalam kerjanya.
si D ini seorang yang ceria dan baik di mata rakan-rakan rupanya seorang yang sentiasa mengadu domba.
si E ini seorang yang tekun dan pendiam rupanya dia seorang yang berprinsip dan tidak suka menolong rakan yang lain
si F ini seorang yang pemarah serta bermulut lancang tetapi sebenarnya dia seorang yang sentitif
saya selalu berfikir kenapa saya dipertemukan dengan individu yang sebegini, kerana mudah :
1. Allah mahu saya belajar dari kekuatan setiap individu ini
2. Allah mahu saya mengambil iktibar supaya saya hanya mengambil sifat yang positif
3. Allah mahu saya menjadikan diri mereka sebagai contoh yang oleh diikuti atau yang boleh dipelajari
4. Allah mahu saya sedar setiap manusia ada kelemahan dan kelebihan masing-masing
Saya juga tidak terkecuali, dari sudut yang positifnya saya memang seorang yang terbuka dan sentiasa belajar. Belajar untuk mengenali diri. Saya seorang yang mudah melupakan setiap sesuatu yang saya tidak sukai. Disebabkan itu, sifat saya memang mudah memaafkan orang lain. Saya sentiasa ingin membuat yang terbaik dalam hidup tetapi saya agar terburu dalam mengejar sesuatu.
Negatifnya, saya menjadi sambil lewa dan hangat hangat tahi ayam. Sifat yang saya tidak sukai pada diri saya adalah sifat seperti lalang. Jika ada perkara yang selama ini saya percaya, saya akan mudah menukarkan kepada tidak percaya jika ramai yang menyokong. Saya tidak berprinsip dan bertindak seperti penyokong. Saya perlu belajar untuk berprinsip dalam tindakan seharian. Saya ingin sekali belajar untuk :
1. Berfikir dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat perbandingan dan beputusan
2. Jika berlaku di dalam perbincangan, saya perlu bersikap tidak cepat melenting atau meninggi suara
3. Saya perlu lebih belajar untuk mendengar dan memahami orang lain
4. Saya perlu belajar menasihati tanpa mengaibkan sesiapa
5. Saya perlu belajar untuk sabar dalam mengatasi kekurangan orang lain
6. Saya perlu belajar bersyukur dengan apa yang saya ada pada hari ini
Saya sudah meningkat ke tahun 31 dalam kehidupan saya. Saya ingin dinasihati dan ditegur. Saya takut nyawa ini diambil ketika saya lalai dan kecewa dalam kehidupan. Di sekeliling saya adalah keluarga dan kerjaya. Jika kedua-dua perkara ini sudah tidak bererti , saya akan kehilangan semua nilai-nilai kehidupan yang gembira dan tenang.
kata-kata malam ini : usaha untuk meningkatkan diri bermula setiap hari dan sepanjang masa kerana manusia ini sifatnya pelupa dan suka dimotivasikan.
farha 10.15 pm